04 February 2009

Sumber ikan Sarawak habis dua tahun lagi?

KUCHING 4 Feb.- Sumber ikan di perairan Sarawak dijangka habis dalam tempoh dua tahun lagi.

Hasil itu akan habis sekiranya aktiviti bot nelayan asing terus berleluasa menangkap ikan di perairan negeri ini.

Bertambah buruk lagi apabila ada dakwaan Jabatan Perikanan Laut telah meluluskan 500 permit kepada bot nelayan asing untuk beroperasi di perairan negeri ini.

Perkara ini didedahkan oleh Pengerusi Persatuan Nelayan Sarawak (Panesa), Jamali Basri kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, kebanyakan bot nelayan asing beroperasi di zon larangan kira-kira 10 batu nautika sejak tujuh atau lapan tahun lalu menyebabkan jumlah tangkapan nelayan tempatan semakin berkurangan.

''Tidak menghairankan jika sumber ikan di perairan negeri ini akan habis dua tahun lagi memandangkan hasil tangkapan nelayan tempatan ketika ini semakin berkurangan.

''Dalam tempoh yang sama sebelum ini, hasil yang diperoleh sangat banyak hingga nelayan berlumba- lumba turun ke laut.

''Faktor kekurangan tangkapan nelayan tempatan adalah disebabkan bot nelayan asing beroperasi tanpa dibendung menyebabkan hasil yang ditangkap di perairan negeri ini tidak didaratkan di sini sebaliknya dibawa ke negara mereka," katanya.

Jamali berkata, disebabkan itu, Sarawak terpaksa mengimport ikan dari China dan Thailand hingga menyebabkan harga ikan segar yang dijual di pasaran tempatan melambung tinggi.

Sambil memberi contoh, beliau memberitahu, dahulu ikan tenggiri boleh dibeli dengan harga RM8 hingg RM10 sekilogram, namun pada masa sekarang harga ikan itu melambung hingga RM16 sekilogram manakala ikan kembung pula dijual pada harga RM12 sekilogram berbanding RM5 sekilogram sebelum ini.

Selain itu, tambahnya, Jabatan Perikanan Laut juga tidak membuat kajian serta penyelidikan terhadap sumber ikan di perairan di negeri ini dan hanya berdasarkan laporan yang dikeluarkan pada tahun 70-an.

''Jika situasi seumpama ini berterusan akan menyebabkan nelayan tempatan 'gigit jari' sahaja melihat sumber ikan sendiri dikaut oleh nelayan asing," ujarnya.

Menurut Jamali, perkara seumpama itu telah dikemukakan oleh Panesa kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini, namun belum ada tindakan serius dilakukan.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, Panesa akan membuat satu lagi memorandum untuk diserahkan kepada Jabatan Perikanan Laut bagi membantah pemberian permit kepada 500 bot nelayan asing untuk beroperasi di perairan negeri ini.

No comments:

Welcome To Jabatan Penerangan Sarikei

Selamat Datang Ke
Jabatan Penerangan Malaysia Sarikei

Macamni / sini nak carik kmk org

Jabatan Penerangan Malaysia Bahagian Sarikei terletak di tengah – tengah Bandar Sarikei. Untuk keterangan lanjut anda boleh menghubungi kami di alamat ;

Jabatan Penerangan Malaysia Bahagian Sarikei,

Jalan Getah,

96100 Sarikei.

Atau anda boleh menghubungi kami di talian ;

Tel : 084 – 651904 / 651140

Faks : 084 – 653251

Atau emel terus kepada kami :

pensarikei@inform.gov.my