25 February 2009

Anak Tempatan Calon di Batang Ai

KUCHING: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, semalam mengesahkan anak tempatan akan dicalonkan untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai.

Turut menyatakan perkara sama adalah Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memberitahu sudah menyenarai pendek dua calon.

Abdul Taib yang juga Ketua Menteri Sarawak, berkata beberapa anak tempatan sudah dikenal pasti BN negeri untuk bertanding di kerusi itu, namun keputusan muktamad akan dibuat selepas beliau berbincang dengan pemimpin Parti Rakyat Sarawak (PRS), parti komponen BN yang mewakili kerusi berkenaan.


Katanya, selain anak tempatan calon yang dipilih kelak mestilah disenangi rakyat di kawasan itu, berintegriti, memiliki komitmen dan boleh menang.

Pengerusi Perhubungan PKR Sarawak, Dominique Ng, ketika bercakap kepada Berita Harian, memberitahu pihaknya akan mencadangkan hanya dua nama iaitu Pengerusi Penaja PKR Bahagian Lubok Antu, Nicholas Bawin Anggat dan bekas Ahli Parlimen Lubok Antu selama empat penggal, Jawah anak Gerang untuk bertanding di situ.

"Nicholas mendapat undi yang banyak ketika menentang penyandang, mendiang Datuk Dublin Unting Ingkot pada 2006, hasil sokongan Jawah yang banyak membantu kempen pembangkang.

"Saya optimis PKR akan menang pada pilihan raya kecil kali ini. Tapi kita perlu pastikan Pakatan Rakyat berhadapan satu lawan satu dengan BN," katanya.

Jawah Gerang pernah menjadi Ahli Parlimen Lubok Antu pada 1990, 1995, 1999 dan 2004, namun semua kemenangan itu diperoleh atas tiket BN. Beliau memilih untuk tidak menyertai PRS selepas Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dibubarkan, sebaliknya menyertai PKR.

Taib yang ditemui pemberita selepas menziarahi jenazah mendiang Dublin semalam menyifatkan Dublin seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada negeri ini terutama di bidang sukan dan pertanian, selain mempunyai sikap mudah mesra.

Sementara itu, Presiden PRS, Datuk Sri Dr James Jemut Masing, berkata beberapa nama akan diserahkan kepada Pengerusi BN Sarawak dalam masa terdekat.

PRS katanya, akan mempertahankan kerusi Batang Ai yang menjadi kubu kuat BN Sarawak sejak dulu lagi selain tidak bimbang dengan amaran PKR bahawa mereka akan bertanding di situ.

Setiausaha Agung BN Sarawak, Dr Stephen Rundi, berkata jentera BN sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk digerakkan sebaik tarikh pilihan raya kecil berkenaan diumumkan SPR.

"Semua parti komponen BN Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) akan membantu PRS untuk memastikan DUN Batang Ai kekal menjadi milik BN," katanya.


sumber:BHarian.com.my

26 - Feb - 2009

No comments:

Welcome To Jabatan Penerangan Sarikei

Selamat Datang Ke
Jabatan Penerangan Malaysia Sarikei

Macamni / sini nak carik kmk org

Jabatan Penerangan Malaysia Bahagian Sarikei terletak di tengah – tengah Bandar Sarikei. Untuk keterangan lanjut anda boleh menghubungi kami di alamat ;

Jabatan Penerangan Malaysia Bahagian Sarikei,

Jalan Getah,

96100 Sarikei.

Atau anda boleh menghubungi kami di talian ;

Tel : 084 – 651904 / 651140

Faks : 084 – 653251

Atau emel terus kepada kami :

pensarikei@inform.gov.my