23 February 2009

Pengorbanan Tak Ternilai .....

Penulis lirik terkenal, Habsah Hassan juga sahabat baik Allahyarham berkata, seperti P Ramlee, Sudirman dikenali sebagai anak seni yang memandang jauh ke hadapan, kuat bekerja dan sangat kreatif dalam karya yang dihasilkannya.



"Sudirman seorang yang patriotik dan berjiwa Malaysia. Semuanya dilahirkan dalam bentuk lagu nyanyian seperti lagu raya, sambutan kemerdekaan dan kecintaan kepada tanah air. Beliau pernah buat konsert percuma untuk masyarakat dan ia juga atas inisiatifnya sendiri.

"Pembabitannya bukan untuk mengejar kekayaan, sebaliknya menghambakan diri pada seni. Sepanjang pembabitannya, jasa dan pengorbanannya tidak ternilai dalam memartabatkan industri seni tanah air," katanya

Habsah berkata, sepatutnya sudah lama Sudirman diberikan pengiktirafan atas jasanya pada industri seni tanah air.

"Sebenarnya, Surdiman pernah beritahu, jika pihak tertentu ingin memberikannya anugerah biarlah ketika dia masih hidup. Tetapi sayang hayatnya tidak panjang. Sudirman mula menyanyi pada 1976 dan meningal dunia pada 1992. Arwah sendiri seperti tahu usianya tidak panjang tetapi dia tetap ingin meninggalkan sesuatu pada industri seni tanah air.

"Kini, sudah 17 tahun Sudirman meninggalkan kita tetapi tiada sebarang pengiktirafan diberikannya padanya. Bukan nama dan gelaran yang dikejar beliau tetapi saya tidak faham kenapa pihak berkenaan terlepas pandang untuk memberi pengiktirafan kepadanya sedangkan sudah ramai artis kita diberikan pengiktirafan atas jasa mereka pada seni.

"Saya tidak tahu apakah kriteria pemilihan mereka. Apa yang penting, pengiktirafan memang wajar diberikan kepada Sudirman untuk menghargai jasanya pada industri seni tanah air.

"Sekurang-kurangnya pengiktirafan dari negeri kelahirannya sendiri. Bukan setakat gelaran Datuk tetapi Tan Sri wajar dianugerahkan kepadanya. Saya juga boleh duduk dan berbincang dengan pihak berkenaan untuk memberitahu kriteria diperlukan mereka," katanya.

Tambah Habsah, ramai pihak datang berjumpanya kerana berminat membuat biografi penghibur terkenal itu.

"Sebagai penulis, saya perlu jujur dalam penulisan dan pada masa sama, saya juga bimbang ada hati yang akan terusik dengan penulisan saya itu. Sebab itu, ia menghalang saya untuk menulisnya buat masa ini.

"Selain itu, ada juga syarikat berminat buat filem mengenai Sudirman tetapi pada pandangan saya, lebih baik saya sendiri yang buat filem itu kerana saya lebih mengenalinya," katanya.

Habsah ditemui pada majlis tahlil sempena 17 tahun pemergian Allahyarham ke rahmahtullah di Restoran Puteri, Sungai Penchala, Taman Tun Dr Ismail, baru-baru ini. Majlis itu dihadiri lebih 100 tetamu termasuk anggota keluarga, rakan artis dan peminat Allahyarham.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Leesa Formula Sdn Bhd, Mona Din; Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin dan Pengarang Kanan Hiburan, Media Hiburan, Intan Zabidin. Mereka adalah penganjur bersama majlis tahlil itu.

Antara artis yang hadir, kumpulan Rabbani, Rubiah Suparman, Erra Fazira, bintang Akademi Fantasia, Khai, Bob, Diddy, Ina Naim dan suami, Eira Syazira, Alyah dan Farah Asykin.

Kakak Sudirman, Datin Rodziah Arshad, berkata dia terharu kerana ada pihak sudi menaja majlis tahlil untuk mengingati pemergian adiknya itu.

"Saya mendapat panggilan daripada Intan memberitahu ada penaja berminat untuk menaja majlis tahlil Allahyarham. Maklumlah, Intan dan Allahyarham dulu sangat rapat. Sebagai anggota keluarga terdekat, kami tidak pernah gagal menganjurkan majlis tahlil saban tahun.

"Saya gembira kerana ramai peminat masih mengingati tarikh pemergiannya. Malah, setiap kali saya melayari YouTube Sudirman, saya dapati ramai peminat masih ingat padanya. Malah, ramai menghadiahkan Al-Fatihah sempena memperingati pemergiannya semalam (tanggal 22 Februari, 1922)," katanya.

Mengenai pengiktirafan kepada Sudirman pula, Rodziah berkata, baginya penerimaan masyarakat terhadap Sudirman lebih penting dan bermakna berbanding gelaran.

"Nama Sudirman sudah cukup besar dalam industri seni. Saya ingat lagi, ketika hayatnya dulu, Allahyarham sentiasa berjuang melawan dirinya sendiri. Setiap kali menjayakan persembahan, dia tidak pernah puas dan selalu ingin menghasilkan yang lebih baik lagi buat peminatnya.

"Kalau hendak beri pengiktirafan kepadanya, lebih baik diberi penghargaan dengan mengabadikan namanya pada nama jalan seperti Jalan Sudirman atau Studio Sudirman supaya dia terus diingati generasi akan datang," katanya.

Sementara itu, peminat Sudirman dari Amsterdam, Belanda, Annalizza, 57, yang sudahpun memeluk agama Islam berkata, dia juga tidak ingin melepaskan peluang menjayakan majlis tahlil itu.

"Sebagai peminat, saya sanggup datang dari jauh untuk menjayakan majlis ini dan memberi kejutan pada Kak Rodziah. Sebenarnya saya tidak mengenali Sudirman secara peribadi, sebaliknya hanya melalui mimpi pada April tahun lalu.

"Mungkin orang sukar nak percaya tetapi hakikatnya berdasarkan mimpi saya itu akhirnya mendorong saya ke rumah kak Rodziah di Bangsar, Disember, tahun lalu.

"Selain sudah menziarahi pusaranya, saya juga menjalinkan hubungan akrab dengan keluarga Allahyarham sejak itu. Menerusi kakaknya, saya dapat mengenali Allahyarham dengan lebih dekat sekarang. Saya juga mendengar lagu nyanyian Allahyarham daripada cakera padat yang diberikan kakaknya dan kini saya menjadi peminat setianya," katanya.

Sumber : MyMetro 24 Feb 2009
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

No comments:

Welcome To Jabatan Penerangan Sarikei

Selamat Datang Ke
Jabatan Penerangan Malaysia Sarikei

Macamni / sini nak carik kmk org

Jabatan Penerangan Malaysia Bahagian Sarikei terletak di tengah – tengah Bandar Sarikei. Untuk keterangan lanjut anda boleh menghubungi kami di alamat ;

Jabatan Penerangan Malaysia Bahagian Sarikei,

Jalan Getah,

96100 Sarikei.

Atau anda boleh menghubungi kami di talian ;

Tel : 084 – 651904 / 651140

Faks : 084 – 653251

Atau emel terus kepada kami :

pensarikei@inform.gov.my